Warga emas maut, isteri parah disamun

BALIK PULAU - Penjenayah tidak berhati perut apabila memecah masuk rumah dihuni sepasang suami isteri warga emas di Jalan Tun Sardon di sini.


Dalam kejadian awal pagi tadi, seorang warga emas maut manakala isterinya cedera parah akibat dipukul dengan objek keras.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zin berkata, Chin Len Wong, 83, ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh anak lelakinya yang datang ke rumah untuk menghantar makanan.

Beliau berkata, anak lelakinya, Chin Hui Ming, 49, mendapatinya berlumuran darah serta masih bernafas pada jam 9 pagi sebelum meninggal beberapa minit kemudian.

"Mangsa dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul di bahagian kepala sehingga menyebabkan kematiannya. Mayatnya di bawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat," katanya kepada media di tempat kejadian.

Menurutnya, isteri mangsa, Chang Yook Kee, 71, patah tangan dan sedang menerima rawatan di HPP.

Mohd Hatta berkata, pasangan itu tinggal berdua di rumah yang dikelilingi kebun durian dan ladang getah seluas 2.83 hektar milik mereka.

"Kejadian ini dipercayai berlaku awal pagi tadi. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya.

Menurutnya, ada beberapa kes yang sama sebelum ini apabila suspek menyasarkan rumah yang terpencil untuk menyamun.

"Polis akan menjalankan gerakan besar-besaran untuk mengesan suspek berdasarkan beberapa gambar dan foto fit yang mungkin terlibat dalam kes ini.

"Dari siasatan awal, kita percaya jenayah ini dilakukan lebih daripada seorang berdasarkan keadaan rumah yang digeledah," katanya.

Beliau berkata, jumlah kerugian belum diperolehi yang melibatkan wang tunai dan barangan kemas. - SH

No comments:

Post a Comment