Histeria: Mangsa nampak makhluk berbulu

KUANTAN - Mangsa histeria kelmarin, Norsyafikah Saifulizan, 13, mengakui nampak dua makhluk berbulu di makmal sekolah dan di bilik air sebelum ini.


Bagaimanapun, dia hanya memaklumkan kepada guru dan tidak kisah dengan dua makhluk yang ditemui di makmal sains itu dan meneruskan pelajaran seperti biasa.

“Memang ada nampak makhluk berbulu tapi saya buat tak kisah. Masa tu saya berjalan ke  arah bilik disiplin,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Norsyafikah yang juga pengawas sekolah berkata, sebelum ini, ada rakan yang mengadu melihat makhluk berkenaan di kawasan sekolah tetapi mereka tidak kisah sehingga ada gangguan kelmarin.

Katanya, selepas kejadian itu, badannya rasa panas dan fikiran buntu namun mujur ibu dan bapanya memahami dan memberi semangat selepas memaklumkan perkara itu.

“Saya mengadu pada mak dan ayah dan mereka memberi kata-kata semangat dan benarkan saya pergi ke sekolah seperti biasa,” katanya yang kini sukar tidur malam.

Norsyafikah adalah antara 70 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Sira yang menjadi mangsa histeria kira-kira jam 1 petang kelmarin.

Pelajar lelaki dan perempuan dilihat meracau dan berlari bertempiaran di sekeliling bangunan sehingga menyukarkan guru menenteramkan mereka tetapi keadaan kembali tenang selepas perubatan Islam dilakukan seorang
pengamal perubatan.

Sementara itu, bapa Norsyafikah, Saifulizan Abdullah, 38, tidak menghalang dua anaknya meneruskan persekolahan seperti biasa walaupun bimbang dengan keselamatan mereka.

Menurutnya, dia juga tidak membawa Norsyafikah dan kakaknya, Emy Syazana berjumpa dengan pengamal perubatan tradisional kerana memberi kepercayaan kepada pihak sekolah menguruskan masalah itu.

“Walaupun ada ibu bapa yang bertindak tidak membenarkan anak mereka ke sekolah tapi kami memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak sekolah untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

Namun, katanya, sebagai bapa kepada mangsa serangan histeria, Saifullizan mahu pihak sekolah memberi maklumat tepat dari semasa ke semasa kepada ibu bapa atau penjaga mengenai keadaan keselamatan selepas peristiwa itu.

Katanya, sehingga kini tiada lagi perkembangan terkini yang dimaklumkan kepada ibu bapa selain menerima surat kebenaran menjalankan rawatan di sekolah.

“Saya anggap perkara ini serius apabila ada pelajar yang mengadu mendengar bisikan yang boleh membahayakan mereka.

"Jadi saya harap ada kerjasama antara guru dan penjaga,” katanya. - Mymetro

---------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pelajar cedera parah jatuh bangunan - 4 September 2013

KUANTAN - Seorang pelajar perempuan tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Sira di sini parah selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah itu, tengah hari, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari.

Menurutnya, mangsa yang berusia 13 tahun patah di kedua-dua pergelangan kaki dan tangannya kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

“Mangsa dibawa ke hospital oleh pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang tiba kira-kira 10 minit selepas dihubungi.

“Siasatan awal mendapati pelajar terbabit cuba untuk terjun bangunan itu berdasarkan nota tulisan tangan yang ditulis di tapak tangan kirinya.

”Bagaimanapun polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung motif kejadian pelajar terbabit bertindak sedemikian,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, pelajar terbabit dalam keadaan stabil namun polis kini memantau keadaannya dan akan mengambil keterangan selepas keadaan kesihatannya mengizinkan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Rosdi Ismail ketika dihubungi berkata, punca remaja itu berbuat demikian masih disiasat dan pihak pengurusan sekolah sudah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Pada 23 Mei lalu, seorang pelajar tingkatan tiga sekolah yang sama maut selepas terjatuh dari tingkat tiga.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa, Syamil Ismail, 15 mengalami cedera parah akibat hentakan kuat  dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan. - SH

Pelajar cemerlang maut terjun bangunan

Kuantan –  Pelajar tingkatan tiga yang terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolahnya pagi semalam, disifatkan sebagai pelajar cemerlang dan antara menjadi harapan untuk memperoleh keputusan 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa, Syamil Ismail, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Sira dikatakan terjatuh dari bangunan Blok B sekolahnya ketika dalam perjalanan ke dewan di tingkat satu bangunan sama.

Menurut sumber yang juga kakitangan sekolah berkenaan, mangsa adalah pelajar yang tidak pernah menimbulkan masalah di sekolah dan sentiasa fokus ketika berada di dalam kelas.

“Kehilangannya begitu terasa kerana arwah pelajar yang baik dan tersenarai sebagai pelajar harapan untuk mendapat keputusan cemerlang dalam PMR.
“Sepanjang bersekolah di sini, dia sering mencatatkan keputusan yang baik dalam peperiksaan dan menjadi kebanggaan sekolah,” katanya.

Anak ketiga daripada empat beradik itu terjatuh di atas rumput dalam keadaan tertiarap di hadapan tandas pelajar perempuan Blok B sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, mangsa dibawa ke Unit Kecemasan, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sejurus kejadian namun disahkan meninggal dunia jam 11.50 pagi.

“Siasatan awal mendapati mangsa berjalan bersama rakan sekelas menuju ke dewan sekolah di tingkat satu namun tiba-tiba dia berlari dan cuba terjun, tetapi berjaya dihalang rakannya.
“Bagaimanapun mangsa berjaya melepaskan diri daripada pegangan rakannya dan terjatuh dari tingkat tiga bangunan itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, pihak sekolah kemudian bertindak menghubungi ibu bapa mangsa sebelum pelajar berkenaan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Mangsa meninggal dunia akibat hentakan yang kuat selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan dan jenazah diserahkan kepada keluarganya,” katanya. – METRO

Sekolah bahaya. Mengapa Jabatan Pelajaran Pahang benar terus beroperasi?

No comments:

Post a Comment