PNB kaji struktur dana ASB2

KUALA LUMPUR - Permodalan Nasional Bhd (PNB) sedang meneliti struktur yang sesuai bagi penubuhan dana Skim Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2), sama ada berharga tetap seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau berubah-ubah, dan dilancarkan dalam tempoh terdekat.
  
"Penelitian sedang kita buat sekarang untuk memastikan produk itu lebih berkesan, kerana mengikut kajian, kebanyakan produk-produk yang harganya berubah-ubah, kurang dijual," kata Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Tan Sri Hamad Kama Piah.
  
"Tetapi kalau harga tetap, banyak yang terjual. Jadi itu lah kita sedang teliti supaya produk yang akan dilancarkan nanti lebih berkesan," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan pengagihan pendapatan Amanah Saham 1 Malaysia, di sini hari ini.
  
Diminta mengulas bila skim ini akan dilancarkan, Hamad Kama berkata: "Yang penting kita nak buat secepat mungkin.   
"Kesesuaian waktu juga penting kerana sekiranya dana tersebut dilancarkan dalam suasana pasaran indeks yang terlalu tinggi, ia mungkin akan menjejaskan prestasi produk itu sendiri," katanya.
  
Selain itu, Hamad Kama berkata PNB juga sedang meneliti jenis-jenis pelaburan yang akan dijalankan, di samping mendapatkan kelulusan daripada pihak berwajib dan memastikan sistem komputer dapat berjalan lancar.
  
"Kita berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana masih lagi percaya dan memberi amanah kepada PNB untuk melancarkan satu lagi produk baharu yang saiznya berskala besar," kata Hamad Kama.
  
Sabtu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan PNB dipertanggungjawabkan untuk melancarkan ASB2 dengan suntikan sebanyak 10 bilion unit saham, bagi memantapkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat.
  
Hamad Kama juga berkata ASB sedia ada telah menjual sebanyak 110 bilion unit.
  
"Ini menggambarkan bahawa selama ini, ASB terutamanya, telah memberi pulangan yang agak kompetitif kepada para pelabur, dan memang ramai pelabur meminta kita tambahkan saiz daripada maksimum 200,000 unit kepada paras yang lebih tinggi.
  
"Ini menunjukkan mereka berminat untuk melabur dalam ASB," katanya.
  
ASB ialah skim unit amanah yang dilancarkan pada 2 Jan 1990 dan dibuka untuk Bumiputera, dengan objektif untuk menjana pulangan jangka panjang, konsisten dan kompetitif kepada pemegang unit, selain memastikan pengekalan modal pada tahap toleransi risiko yang minimum.
  
ASB juga ialah dana ekuiti pendapatan pada harga tetap seunit, RM1.00, dan pelaburan maksimum bagi setiap individu dewasa yang layak terhad kepada RM200,000. - Bernama

No comments:

Post a Comment