4 warga Iran hidup mewah ditahan

Wan Abdullah Ishak (kiri) bersama pegawainya menunjukkan dadah dan barang-barang yang dirampas daripada pengedar dadah dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 5 Sept. - Sebuah keluarga warga Iran mampu hidup mewah termasuk membeli sebuah kondominium dua tingkat berharga RM2 juta, malah menghantar anak perempuan mereka berusia 13 tahun belajar di sekolah antarabangsa, hasil pendapatan lumayan melalui kegiatan mengedar dadah.
Kegiatan haram suami isteri terbabit terbongkar setelah diserbu sepasukan polis di rumah mereka di Jalan Duta Hartamas, Sri Hartamas pada pukul 12.30 tengah malam, Ahad lalu.
Serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan Imigresen.

Dalam serbuan itu, polis menahan tiga perempuan dan seorang lelaki warga Iran berusia 13 hingga 41 tahun bersama dadah disyaki syabu seberat 1,160 gram bernilai kira-kira RM150,000.
Ketua JSJN IPK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Wan Abdullah Ishak berkata, suspek ditahan ialah seorang surirumah berusia 41 tahun iaitu isteri kepada pemilik kediaman berkenaan, anak perempuannya berusia 13 tahun, adik ipar wanita itu dan rakan wanita masing-masing berusia 32 tahun.

"Ketika serbuan dilakukan, suami suspek yang turut disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah tiada di rumah dan belum dapat dikesan sehingga kini.
"Ujian air kencing dilakukan terhadap kesemua yang ditangkap mendapati hanya surirumah berkenaan positif mengambil dadah jenis syabu," katanya dalam sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menurut Wan Abdullah, siasatan mendapati suspek memang dikehendaki dan sudah disenarai hitam oleh pihak Imigresen daripada tinggal di negara ini sejak 2008 kerana pernah terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.
Beliau berkata, suspek tinggal di negara ini menggunakan visa lawatan yang sudah tamat tempoh.

Katanya, suspek yang menjalankan kegiatan mengedar syabu yang diseludup dari Iran hidup mewah di negara ini sehingga mampu membeli kondominium menggunakan nama suaminya berharga RM2 juta dan menghantar anak perempuan mereka belajar di sekolah antarabangsa.

"Suspek mengedar syabu berkualiti tinggi yang diseludup dari negara asalnya kepada penagih dadah dalam kalangan rakyat senegaranya.
"Kegiatan suspek sukar dikesan kerana tinggal di kediaman mewah dikelilingi jiran terdiri daripada rakan senegara yang membantu menyimpan rahsia," ujarnya.

Wan Abdullah berkata, kesemua suspek dreman sehingga esok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1953 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.
Katanya, polis sedang berusaha mengesan suami suspek dan menyiasat lanjut jika ada individu lain turut terlibat dalam sindiket tersebut. - Utusan

No comments:

Post a Comment