Tak sanggup minum air lumpur

Kamarudin menunjukkan air paip yang ditadah sudah berkeladak.
KUALA PILAH – Penduduk Kampung Gemuroh melahirkan rasa kecewa dan tidak berpuas hati apabila kualiti air yang dibekalkan bercampur lumpur, sekali gus mengganggu urusan harian mereka.


Penduduk, Kamarudin Arifin, 48, berkata, masalah berkenaan berlarutan hampir setahun itu turut menyebabkan penapis air miliknya rosak.

“Gara-gara penapis sudah rosak, saya sekeluarga terpaksa menadah air dari paip dan perlu menunggu dua jam sebelum mendapat air bersih.

“Malah, berlaku pembaziran apabila saya terpaksa membuang air yang berkeladak kerana tidak boleh digunakan dan kadang kala saya perlu menanggung bil air mencecah ratusan ringgit,” katanya.

Dia mendakwa, masalah itu kemungkinan berpunca daripada saluran paip bawah tanah sedia ada yang bercampur lumpur.

“Sedia maklum, kawasan ini berbukit-bukit, jadi kedudukan paip bawah tanah tidak sekata dan ada yang melengkung. Apabila air melalui saluran paip itu, ia akan bercampur dengan lumpur yang telah mendap sekian lama. Sebab itu, masalah ini berlarutan sehingga sekarang.

"Biasanya kejadian tidaklah seteruk ini, hanya berlaku pada awal pagi, kadang kala waktu malam. Tetapi kali ini sampai beberapa kali dalam sehari, kami terima air berkeladak.

"Susahlah bila berlaku macam ini, kami juga mahu air bersih. Sekarang, kami perlu tadah dan tapis dahulu air sebelum digunakan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, dekat sini, semalam.

Sementara itu, menurut isterinya, Norazah Ramly, 41, berkata, kadang kala air yang keluar bukan sahaja berkeladak tetapi menyebabkan badan mengalami gatal-gatal.

“Selain berdepan dengan risiko penyakit kulit, kami juga khuatir ia juga akan menjejaskan kesihatan kami kerana menggunakan air ini untuk menyediakan makanan,” katanya terpaksa membelanjakan wang untuk membeli air mineral sebagai minuman.

Seorang penduduk yang dikenali sebagai Din, 40, berkata, pada bulan Ramadan lalu, air yang keluar dari paip berwarna merah dan langsung tidak boleh digunakan.

"Memang tak tergamak hendak minum air seperti ini, jadi saya terpaksa tadah air menggunakan penapis air. Walaupun tunggu lama, tetapi saya tiada pilihan lain,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Bahagian Perkhidmatan Korporat Sains, Norzita Ismail berkata, pihaknya telah mengambil inisiatif melakukan kerja-kerja scouring selama sejam untuk membersihkan aliran paip yang menghala kepada rumah pengadu.

Menurutnya, masalah itu berpunca daripada mendakan kerana rumah pengadu berada di penghujung bekalan air.

"Bagaimanapun, Sains telah mengambil tindakan penambahbaikan, di mana kerja-kerja pengawasan akan dibuat setiap kawasan tersebut serta membuat penambahan injap scour bagi membuang kotoran atau mendapan yang ada di dalam aliran paip," katanya. - SH

Bohong! Ini semua fitnah. Mana mungkin negeri yang diperintah Umno-BN boleh bekalkan air kotor. Jika ada, hanya berlaku di Selangor.

No comments:

Post a Comment