Penggabungan fakulti menghina mahasiswa

Universiti Malaya memulakan langkah baru apabila membuat polisi dengan menggabungkan 16 fakulti menjadi 6 fakulti sahaja. Tindakan ini harus dipuji untuk menuntut perubahan secara dinamik yang berlaku di universiti.

Namun tidak semua perubahan itu mempunyai nilai kebaikan yang tersendiri. Kadang kala perubahan itu dilakukan untuk kepentingan tertentu daripada kepentingan bersama. Perlu kita teliti kembali apakah rasionalnya untuk digabungkan fakulti kepada 6 fakulti.

Apakah Universiti Malaya tidak mampu melahirkan mahasiswa yang produktif dalam menyumbang sesuatu kepada negara? Ke manakah hala tuju universiti kita yang sebenar dalam melahirkan ilmuan yang memenuhi pasaran kerja semasa? Atau untuk mengejar ranking dengan cepat dan mengambil model universiti di luar negara sebagai acuan?
Kita perlu akui bahawa keterlibatan di dalam ranking universiti di peringkat dunia adalah sesuatu yang sangat mencabar, demi menjadikan Universiti dikenali dan mempunyai prestij tinggi. Banyak perkara dan perubahan perlu dilakukan sama ada melibatkan pensyarah, pentadbiran, kewangan dan sebagainya. Tetapi impaknya belum dapat dipastikan lagi.

Dalam keadaan sekarang ini, banyak pensyarah asing yang dibawa masuk untuk mengajar, akan tetapi mahasiswa merungut tidak faham dengan pensyarah tersebut. Perkara ini sudah pastinya memberikan kesan buruk ada mahasiswa. Ramai pensyarah yang ditukar apabila dilihat mengganggu dan tidak sealiran dalam idea penggabungan fakulti ini.

Keputusan penggabungan ini adalah keputusan yang telah diputuskan di peringkat Senat universiti dan akan mula dikuatkuasakan. Persoalannya, mengapakah mahasiswa tidak diberikan penerangan mengenai hal ini? Mengapa pentadbiran universiti banyak membuat spekulasi yang dimainkan di akhbar, dengan menafikan isu penggabungan ini akan berlaku.

Di manakah martabat mahasiswa diletakkan apabila keputusan ini dibuat tanpa wakil mahasiswa diajak bincang dan dirunding. Tidak disebut universiti jika tiada mahasiswa dan penuntut ilmu di dalamnya.

Tindakan ini seolah-olah menghina dan mencabul hak mahasiswa yang diiktiraf di dalam universiti untuk memberikan pandangan dan idea serta meraikan kebebasan bersuara yang dijamin oleh perlembagaan. Mungkinkah bagi mereka, mahasiswa ini hanya robot dan hanya perlu menerima sahaja apa yang diputuskan oleh pihak atasan?

Kepincangan ini berlaku kerana sistem AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) yang masih membelenggu mahasiswa. Walaupun pindaan demi pindaan dibuat namun, ia masih membantutkan pemikiran dan idealism mahasiswa. Halatuju universiti kian bercelaru, tradisi ilmu tercalar dan tercabar akibat dasar yang dilihat tidak demokratik.

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) membantah isu penggabungan ini, selagi belum dibawa bincang dengan mahasiswa dan mendapat faedah yang tepat serta mengambil kira implikasi yang akan di hadapi di masa depan.

PMIUM juga menuntut supaya kajian penggabungan ini dihebahkan kepada umum supaya masyarakat dalam membuat penilaian terhadap polisi baru ini.

MOHAMED BUKHAIRY MOHAMED SOFIAN adalah presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)

Sebab ada fakulti yang kurang produktif.

No comments:

Post a Comment