Peniaga Bumiputera seolah-olah ditindas

DEWAN Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) meminta kerajaan mengkaji semula kuota kepada peniaga Bumiputera supaya mereka mendapat lebih banyak tempat berniaga di pusat membeli-belah terkemuka dalam negara.

Setiausaha Agung DPMM, Hanafee Yusoff berkata, kuota itu perlu diteliti dari segi kos sewa kedai selain peniaga Bumiputera perlu ditempatkan di lot kedai yang lebih strategik.

“Produk Bumiputera mempunyai kualiti tinggi kerana kerajaan sering membantu pengeluaran produk untuk mencapai standard yang ditetapkan tetapi di kebanyakan pusat membeli-belah, jenama tempatan ditempatkan di lokasi yang tersorok.

“Dengan kadar sewa terlalu mahal hingga mencecah puluhan ribu ringgit sebulan, agak sukar peniaga tempatan atau Bumiputera untuk bersaing dengan peniaga jenama antarabangsa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.


Menurutnya, kerajaan perlu mengkaji semula masalah ini supaya lebih banyak peluang dapat diberi kepada peniaga Bumiputera seperti yang termaktub dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) iaitu mengagihkan kekayaan negara secara saksama antara kaum dengan ekuiti Bumiputera 30 peratus.

Hanafee berkata, peluang berniaga di pusat membeli-belah terkemuka secara tidak langsung akan memajukan perniagaan Bumiputera seterusnya mencapai ekuiti itu.

Sementara itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggambarkan penetapan kadar sewa yang terlalu tinggi kepada peniaga tempatan seolah-olah strategi pihak pengurusan pusat beli-belah untuk memberi peluang kepada ‘rakan mereka’ dan merupakan satu bentuk penindasan kepada usahawan Bumiputera.

Ketua Penerangannya, Ruslan Kasim berkata, tindakan seperti itu boleh diumpamakan seperti mencabul DEB.

“Kalau kita melawat Suria KLCC, berapa banyak sangat kedai Bumiputera? Tidak sampai lima peratus daripada 500 lot. Tetapi kalau peniaga luar, ada lebih 80 lot disediakan, ini tidak adil.

“Mengapa usahawan tempatan dipinggirkan? Kami kecewa kerana walaupun perkara ini banyak berlaku, tiada tindakan diambil," katanya. - SH

Kamu tahu Umno gagal tolong Melayu tapi kamu sokong lagi.

No comments:

Post a Comment