10 kenderaan mewah bukan milik saya - Suhaimi

PUTRAJAYA 18 Sept. - Bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Suhaimi Ibrahim menegaskan sebanyak 10 kenderaan mewah yang dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan dana Program Akhiri Zaman Miskin (1Azam) bukan miliknya.

Beliau yang kesal dengan laporan media berhubung perkara itu berkata, kenderaan mewah tersebut milik individu lain yang turut disiasat dalam kes berkenaan sambil menegaskan tiada sebuah kereta, harta atau sebarang dokumen miliknya dirampas SPRM sehingga kini.

Menurutnya, kesemua 10 kenderaan mewah tersebut juga bukan milik proksi beliau sebagaimana dakwaan pihak tertentu.
Sehubungan itu, Suhaimi yang juga bekas Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) meminta media berhati-hati melaporkan perkara tersebut dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya laporan tidak benar tersebut terus berulang.

Tambahnya, beliau tampil memberi penjelasan kerana yakin bebas daripada amalan rasuah selain mengambil sikap berani kerana benar walaupun mengakui dugaan yang diterima kali ini paling mencabar sepanjang hidupnya.

"Saya beritahu terus terang, 10 buah kenderaan mewah itu bukan milik saya tetapi milik individu lain yang turut disiasat dalam kes ini. Tapi media melaporkan seolah-olah hanya saya seorang sahaja yang disiasat. Lebih tujuh individu yang disiasat oleh SPRM dalam kes ini.

"Boleh tanya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau sahkan sendiri dengan SPRM. Tiada sebuah kereta atau harta benda saya yang dirampas. SPRM juga tidak merampas sebarang dokumen. Saya datang memberi keterangan dengan sukarela," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam media melaporkan, seorang bekas setiausaha politik kepada bekas menteri Kabinet dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM100,000 selepas ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana program 1Azam dengan 10 buah kenderaan mewah turut dirampas.

Menurut Suhaimi, jika benar terbabit dalam penyelewengan dana projek 1Azam, beliau tidak mungkin hadir ke ibu pejabat SPRM Putrajaya Jumaat lalu berseorangan tanpa ditemani peguam.
"Pegawai SPRM telefon minta saya hadir. Saya datang sukarela tanpa ditemani peguam.

Saya bagi kerjasama sebaik mungkin ketika disiasat selama lima hari kerana percaya saya bersih daripada rasuah. Selebihnya, biarlah SPRM buat kerja kerana saya tidak mahu ganggu siasatan," katanya.

Mengenai dakwaan rumahnya di Taman Melawati dekat sini, juga ada kaitan dengan penyelewengan dana program 1Azam, Suhaimi berkata, pihak yang membuat fitnah itu sepatutnya sedar beliau sudah terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan seperti pembinaan, restoran dan pertanian sejak 1995.

"Tiada satu pun perniagaan itu ada kaitan dengan tugas saya sebagai bekas setiausaha politik sebelum ini. Saya beli rumah terbabit hasil rezeki melalui perniagaan. Jangan membuat tuduhan melulu tanpa siasatan," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment