RM66.6b harta tidak dituntut

KUALA TERENGGANU 25 Sept. - Dua perkhidmatan baharu yang disediakan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) iaitu Hibah Amanah (pelabur Islam) dan Pengisytiharan Amanah (pelabur bukan Islam) mampu merancakkan sektor ekonomi sekali gus memberi impak positif khususnya kepada umat Islam jika ia dapat dicairkan melalui cara yang betul.

Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, mengikut statistik yang diperoleh melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), ketika ini, harta orang Islam yang tidak dituntut mencecah RM66.6 bilion.

Katanya, melalui dua perkhidmatan itu, pihaknya yakin dapat mengurangkan masalah harta yang tidak dituntut kerana perkara itu jelas merugikan masa depan pewaris mereka atau generasi masa depan.

"Melalui hibah yang diperkenalkan, rakyat digalakkan menyertai perkhidmatan ini dalam usaha memudahkan urusan tuntutan harta pusaka berbentuk pelaburan dalam ASNB dibuat jika berlaku kematian kepada pemegang unit.


"Umat Islam perlu sedar mengenai kepentingan hibah kerana sebagai umat Islam jika gagal menguruskan harta mereka, ia akan mengakibatkan ekonomi Islam lemah dan bagi orang bukan Islam, pengagihan unit saham dapat disegerakan jika mereka menyertai perkhidmatan ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Akhir Kuiz Pelaburan PNB 1 Malaysia (Kategori Institut Pendidikan Guru (IPG) di IPG Kampus Datuk Razali dekat sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Rektor IPG Kementerian Pendidikan Malaysia, Tuan Sulaiman Wak. - Utusan

No comments:

Post a Comment