Polis Selangor tahan 3 lelaki disyaki Geng 08

Polis Selangor memberkas tiga lelaki dipercayai anggota Geng 08 di Padang Jawa, Klang selepas kejadian tembakan di Subang Perdana dan Lebuhraya Koridor Guthrie dekat Shah Alam, awal pagi ini.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk A Thaiveegan berkata polis turut merampas sepucuk pistol jenis Smith & Wesson serta beberapa butir peluru hidup daripada mereka.

"Ketiga-tiga suspek adalah individu dikehendaki oleh IPD Klang Selatan dan seorang darinya mempunyai empat rekod jenayah lampau bersabit kes dadah dan samun," katanya pada sidang media di Shah Alam, hari ini.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 26 dan 27 tahun dan berasal dari Klang dan Shah Alam itu akan ditahan reman esok, katanya.

Menceritakan detik sehingga membawa kepada penahanan ketiga-tiga suspek, Thaiveegan berkata sebuah kereta peronda polis terserempak dengan kereta Perodua Viva yang dinaiki tiga suspek itu dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah restoran di Subang Perdana kira-kira 2.30 pagi.

Hasil maklumat awal, polis tidak menolak kemungkinan mereka ke situ untuk melakukan samun ke atas restoran berkenaan, katanya dan menurutnya suspek memecut laju kereta sambil melepaskan dua das tembakan ke arah kereta peronda polis selepas diarahkan keluar untuk pemeriksaan.

"Kereta peronda polis terus mengejar suspek dari Subang Perdana sehingga ke Lebuhraya Koridor Guthrie dan ketika itu juga, suspek melepaskan tembakan (ke arah kereta peronda) namun tidak mengena.

"Ekoran kejadian tembakan itu, kita terpaksa meminta bantuan dari pasukan peronda polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam," katanya.

Thaiveegan berkata sebaik tiba di Seksyen 20, Shah Alam, suspek sekali lagi melepaskan dua lagi das tembakan ke arah polis sebelum memasuki kawasan Padang Jawa dan kemudiannya Taman Sentosa di Klang sebelum terbabas dan melanggar sebuah Toyota Hilux serta penghadang jalan.

"Kenderaan rosak dan tidak boleh bergerak menyebabkan ketiga-tiga suspek akhirnya keluar dari kereta dan melarikan diri.

"Namun, dengan bantuan polis dari IPD Klang, seorang daripada mereka dapat ditahan manakala suspek kedua yang menyembunyikan diri dalam longkang berhampiran diberkas sejam kemudian manakala suspek ketiga diberkas kira-kira 9.15 pagi ini dalam kawasan kebun kelapa sawit di kawasan sama," kata Thaiveegan.

Sementara itu, Polis Perak menahan tiga individu dipercayai anggota kongsi gelap yang mempunyai kaitan dengan lima lelaki ditembak mati oleh pihak berkuasa di Pulau Pinang baru-baru ini.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata penahanan itu merupakan sebahagian daripada Ops Cantas yang dilaksanakan di negeri ini.

"Mereka dari kumpulan yang sama contohnya macam Geng 04 atau Geng 08. Di Perak ada (kumpulan itu) dan di sana pun ada, cuma kita tak boleh hendak pastikan sama ada mereka terlibat secara langsung atau tidak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan perpisahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah di sini hari ini sempena pertukarannya ke Selangor mulai bulan depan.

Katanya ketiga-tiga individu mengenali lima lelaki yang ditembak mati itu.

Mohd Shukri berkata polis turut mengenal pasti beberapa kumpulan kongsi gelap yang terlibat dalam kegiatan jenayah di negeri ini.

"Saya tak boleh beritahu berapa (kumpulan). Ada geng 04,06,08,36 termasuk kumpulan lain," katanya.

Dalam kejadian di Sungai Nibong Isnin lepas, polis menembak mati lima anggota kumpulan kongsi gelap dipercayai pembunuh upahan yang dikehendaki kerana terbabit dalam kes bunuh dan cubaan bunuh di Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan. - Bernama

Boleh tahan Viva.

No comments:

Post a Comment