Bashar mesti dihukum – Obama

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menegaskan, ketakutan pada peperangan tidak boleh menjadi alasan kuasa dunia untuk tidak melaksanakan tanggungjawab menghukum Syria susulan serangan gas saraf yang membunuh beratus-ratus wanita dan kanak-kanak.


Walaupun masih belum membuat keputusan muktamad mengenai tindakan ketenteraan ke atas rejim Presiden Bashar Al-Assad, kenyataan Obama itu merupakan isyarat paling jelas bahawa AS akan menyerang Syria.

Komen beliau dibuat selepas AS menyiarkan laporan perisikan yang merumuskan bahawa rejim Bashar telah melancarkan serangan senjata kimia di pinggir bandar raya Damsyik pada minggu lalu.
Seramai 1, 429 orang termasuk sekurang-kurangnya 426 kanak-kanak mati dalam insiden tersebut.

“Serangan seperti ini mencabar (kesabaran) dunia,” kata Obama dalam komen ringkas kepada wartawan di Rumah Putih di sini.
“Kita tidak boleh menerima dunia di mana wanita dan kanak-kanak serta orang awam yang tidak berdosa menjadi mangsa serangan gas berskala besar,” tambahnya.

Obama juga menyifatkan serangan itu sebagai ancaman terhadap kepentingan keselamatan AS.
Beliau juga menyelar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kerana gagal bertindak ke atas Syria.

Terdahulu, Perancis memberikan sokongan kepada rancangan AS tetapi anggota-anggota Parlimen Britain mengundi untuk menolak terlibat dalam tindakan ketenteraan yang dicadangkan oleh Washington.

Dalam pada itu, sekutu paling kuat Syria, Rusia mempersoal hasil penemuan risikan AS berhubung serangan senjata kimia pada 21 Ogos lalu.

Moscow juga memberi amaran agar dunia tidak mengambil tindakan ketenteraan ke atas sekutunya itu tanpa sokongan PBB.

Dalam perkembangan berkaitan, pakar-pakar senjata kimia PBB selesai melakukan siasatan berhubung serangan kimia itu semalam dan akan menghantar laporan sama ada senjata pemusnah itu digunakan dalam konflik di Syria - Kosmo

No comments:

Post a Comment