Hatijah Aam ditahan reman

Polis berjaya mendapatkan perintah untuk menahan reman balu kepada bekas pengasas al-Arqam, Hatijah Aam selama empat hari bagi siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana rumah amal anak yatim.
Laporan Berita Harian menyebut, Hatijah pada awalnya ditahan selepas melaporkan diri di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi membantu siasatan mengikut Akta Anti Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2011.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Syed Ismail Syed Azizan dalam laporan itu mengesahkan bahawa pasukannya menahan Hatijah pada jam 12.20 tengah hari semalam.

"Kita mengambil keterangan Hatijah berhubung dakwaan terhadapnya. Kertas siasatan sudah dibuka dan siasatan dijalankan. Polis memandang serius kes penyelewengan dana anak yatim kerana ia membabitkan kepentingan awam," katanya seperti dipetik akhbar harian itu.

Akhbar berkenaan turut menyebut mengenai dakwaan penyelewengan akidah Hatijah dalam laporan sebelum ini.
Menurut Berita Harian lagi, laporannya turut mendakwa Hatijah terlbat dalam kes penyelewengan dana anak yatim.

Al-Arqam diharamkan pada 1994. Susulan itu, anggota keluarga dan saki baki pengikut kumpulan tersebut menubuhkan kumpulan syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd.
Menurut laporan Berita Harian, bekas ahli syarikat tersebut turut tampil membuat laporan polis berhubung dakwaan sama. - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment