Lagi bekas tahanan EO diberkas

JOHOR BAHRU - Dua lelaki yang mempunyai rekod jenayah dengan seorang daripadanya adalah bekas tahanan Ordinan Darurat (EO) ditahan kira-kira 20 minit selepas mereka menyamun penghuni sebuah rumah mewah di Senggarang dekat Batu Pahat baru-baru ini.


Dua suspek tersebut yang menaiki kereta jenis Honda Civic ditahan pada pukul 6.15 petang, Selasa lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, hasil pemeriksaan dalam kenderaan itu, polis menemui sebilah parang, dua buah telefon bimbit, dua beg dipenuhi sepana, serangkai kunci, kunci allen dan wang tunai.

"Semakan mendapati kereta tersebut dilaporkan hilang di kawasan Majidee di sini.
"Kita percaya dengan penahanan itu, polis dapat menyelesaikan 10 kes samun di kawasan Batu Pahat dan bandar raya ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini semalam.

Semakan mendapati dua suspek itu memiliki rekod jenayah samun dan dadah manakala bekas tahanan EO itu pula dibebaskan dari Simpang Renggam, Kluang pada tahun lalu. - Bernama

No comments:

Post a Comment