Perkasa panggil ketua pemuda kerana desak Najib letak jawatan

Sayap pemuda Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa) mengejutkan ramai pihak apabila membuat gesaan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan ekoran gagal menguruskan negara dengan baik.

Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris membuat kenyataan kontroversi itu dalam tulisan di blognya bertajuk "Sudah Cukup Segalanya Digadai, Hj Najib Wajar Meletakkan Jawatan."

"Saya tidak tahu Wira Perkasa ada kuasa yang begitu besar untuk paksa perdana menteri meletak jawatan," kata Datuk Abdul Rahman Abu Bakar kepada The Malaysian Insider, serta meluahkan rasa terkejut atas kenyataan Irwan itu.

Menurut Timbalan Presiden Perkasa itu, beliau akan menemui Irwan dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan berhubung kenyataan itu.

Kenyataan Irwan bagaimanapun tidak begitu mengejutkan kerana Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali sangat kritikal kepada strategi pilihan raya Najib, mengatakan baru-baru ini kumpulan itu tidak berpihak kepada mana-mana parti politik selepas Pilihan Raya 2013.

Ibrahim sudah menyatakan pendirian ini kepada penaung Perkasa, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu pertemuan bersama bekas perdana menteri itu, di mana Najib menerima kritikan ekoran kelemahan prestasi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya 5 Mei.

Seorang pemimpin Perkasa berkata, Dr Mahathir memahami langkah Perkasa untuk tidak memihak kepada mana-mana parti politik dalam pilihan raya akan datang walaupun majoriti ahlinya adalah ahli Umno. Tetapi kumpulan hak Melayu itu tidak pernah meminta Najib letak jawatan.

Irwan memberitahu The Malaysian Insider minggu ini bahawa perdana menteri sudah diberikan masa mencukupi, malah ketika pertemuan dengan Perkasa baru-baru ini, beliau menegaskan Perkasa menuntut Najib segera berubah dan mengutamakan kumpulan pengundi Melayu yang memilih untuk mengekalkan kerajaan. Namun Najib masih berpeluk tubuh tanpa sebarang tindakan.

"Najib masih lagi tidak berubah. Kita sudah beri masa, tapi sekarang keadaan semakin serius. Kes jenayah, isu kalimah Allah, semua ini berlaku apabila ketika pilihan raya itu banyak sangat perkara dilakukan, seperti pemansuhan ISA dan banyak lagi," katanya merujuk tindakan kerajaan Najib memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan juga Akta Ordinan Darurat sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

"Perkara terbaik dia buat adalah letak jawatan kerana keadaan semakin teruk, tidak bertambah baik," katanya.
Irwan berkata, masyarakat Melayu memilih Barisan Nasional (BN) bersama dengan bantuan masyarakat India, namun Najib tetap gagal membela dua kumpulan ini sedangkan pengundi Cina yang menyokong BN adalah bilangan yang cukup kecil.

"Kita juga melihat Najib gagal menjaga orang yang undi dia. Melayu yang beri kuasa untuk dia memerintah dengan bantuan orang India, orang Cina hanya lapan peratus sahaja," katanya kepada The Malaysian Insider.

"Kita sudah beri masa, bukan kita terus mendesak (Najib letak jawatan)," katanya lagi, menegaskan itu adalah pendirian Wira Perkasa dan langkah terakhir yang dilakukan mereka.
"Ini pendirian Wira Perkasa. Saya tidak tahu pendirian kepimpinan Pusat Perkasa. Ini yang maksimum kita boleh buat. Kita pun ada sedikit sumbangan untuk BN dalam PRU lepas," katanya.

Dalam laman blognya, Irwan menulis:"1 Malaysia, BR1M, memberi peruntukan berlebihan kepada sekolah-sekolah jenis kebangsaan terbukti GAGAL.
"Ini kerana kepimpinan yang mahu mendapatkan undi kaum Cina sebanyak 26 peratus dan undi kaum India . Bagi kaum Cina ia terbukti gagal, peratusan kaum Cina itu keluar mengundi meningkat, tetapi peratusan yang dapat kepada kerajaan hanya 8 peratus. Manakala kaum india yang ramai menyokong kerajaan. Tetapi kadar jenayah daripada kaum ini meningkat."

Beliau turut membangkitkan kegagalan slogan "1Malaysia" Najib dan juga Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang menurutnya adalah "rasuah yang dihalalkan oleh kerajaan."

"Malangnya kepimpinan tertinggi negara masih lagi menagih kepada kaum ini, melantik orang yang tidak sepatutnya dilantik. Laungan 1Malaysia ini dilaungkan oleh pengampu, saya mahu tanya apakah 1Malaysia ini berjaya? Jika pada pandangan saya ia terbukti gagal," katanya dalam posting blog berkenaan. – 28 Ogos, 2013.

No comments:

Post a Comment