Ampang: Tiga pesalah muda yang mengaku bersalah melakukan rompakan berkumpulan tahun lalu, akur dan kelihatan bersahaja apabila dikenakan sebatan ringan sebanyak dua kali setiap seorang di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Pelaksanaan hukuman sebat itu dibuat pegawai Penjara Kajang menggunakan rotan di hadapan Hakim Manira Mohd Nor sambil disaksikan ahli keluarga ketiga-tiga mereka dari galeri awam mahkamah.Jurulatih peribadi, Firman Shah Marzuki, 21, Mohammad Talip Abd Kadir, 20, dan Hazmirul Zulkafli, 19, yang masing-masing adalah mekanik didakwa bersama seorang lagi Mohd Ramdan Mohd Ali melakukan rompak berkumpulan dengan menggunakan pisau ke atas Yeo Chai Nee, 30, sehingga mangsa mengalami kerugian yang dianggarkan RM1,200.
Tuduhan bagi perbuatan yang dilakukan di Jalan AG 1/4 Astana, Gombak, dekat sini, jam 4.30 pagi, 17 Mei 2012 itu dibuat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Beberapa minggu lalu, keempat-empat mereka mengaku bersalah dan hakim memberikan Firman Shah bon jaminan berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM5,000, manakala Mohammad Talip dan Hazmirul diberikan bon jaminan berkelakuan baik selama 12 bulan, juga dengan cagaran RM5,000.
Ketiga-tiga mereka turut dikenakan hukuman sebatan ringan dua kali mengikut Seksyen 2(1)(c) Kanun Tatacara Jenayah.
Bagaimanapun, Mohd Ramdan yang berusia 24 tahun dan bukan pesalah muda, kini terpaksa menjalani hukuman penjara empat tahun selain dikenakan sebatan sebanyak empat kali.
Semalam, ditetapkan untuk pelaksanaan hukuman sebatan terhadap tiga pesalah muda itu dan sebelum sebatan dibuat, hakim mengarahkan doktor perubatan dari Penjara Kajang memeriksa tahap kesihatan ketiga-tiga mereka.
Selepas mereka disahkan sihat, proses sebatan dimulakan terhadap Hazmirul dan disusuli oleh Firman Shah serta Mohammad Talip sambil disaksikan ibu bapa dan ahli keluarga yang diminta berdiri di belakang mereka.
Manira kemudian sempat menasihati ketiga-tiga pesalah muda itu supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama lagi dan perlu memilih kawan yang betul.
“Mahkamah harap keluarga dapat sentiasa memantau aktiviti anak masing-masing,” katanya. - Mymetro
No comments:
Post a Comment