Pemuda PAS Selangor terkilan dengan sikap Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim yang tidak mengambil kira teguran bagi memajukan bola sepak negeri itu sehingga mencabar kembali untuk memilih sama ada menggunakan peruntukan untuk membina masjid atau bola sepak.
Dengan nada menyindir, Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor Mohd Sany Hamzan berkata, hal demikian mungkin disebabkan Khalid "terlalu lama dikelilingi oleh roh simpanan tetap yang berbilion-bilion sehingga menghilangkan perasaan terhadap roh sukan".
"Pemuda PAS Negeri Selangor menyifatkan bahawa cabaran yang meminta supaya Pemuda PAS Selangor memilih sama ada untuk menggalakkan bola sepak atau membina masjid sebagai tidak adil kerana kedua-duanya adalah perkara yang berbeza.
"Masjid sememangnya diperlukan untuk perkembangan agama dan kerohanian rakyat Selangor manakala sukan bola sepak adalah salah satu acara sukan yang boleh membina kesihatan fizikal dan sebagai alat perpaduan rakyat Selangor terutamanya kalangan generasi muda," katanya.
Sebelum ini, Mohd Sany mengkritik kekurangan penajaan Menteri Besar Incorporated (MBI) sehingga menyebabkan pemain berbakat seperti Amri Yahyah, Norazlan Razali, Mahalli Jasuli dan Asraruddin Putra Omar cuba dipikat Kelab Johor Darul Takzim dengan tawaran gaji lumayan.
Sebagai reaksi, Khalid yang juga presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mencabar dewan itu membuat pilihan memandangkan setiap tahun peruntukan membiayai bola sepak melebihi pembinaan sebuah masjid.
Dalam kenyataannya hari ini, Mohd Sany berkata, pihaknya berharap Khalid membuat pertimbangan sewajarnya terhadap isu dibangkitkan demi pemerkasaan agenda sukan negeri.
Pemuda PAS negeri itu juga berharap Khalid dapat merombak semula kepimpinan FAS dan menggantikannya dengan muka baru yang lebih progresif dan efisien untuk menyelamatkan maruah pasukan The Red Giants.
"Selain itu, pihak pengurusan FAS juga diharapkan dapat menarik penaja-penaja yang baru yang boleh membantu untuk mengembalikan kegemilangan skuad bola sepak negeri Selangor," kata Mohd Sany. - Malaysiakini
Memalukan PAS.
Home » Pemuda PAS: Khalid hilang roh sukan
No comments:
Post a Comment