BATU PAHAT - Tindak-tanduk seorang wanita berusia 29 tahun yang sering kali berulang-alik ke rumah kekasihnya yang bukan Islam menimbulkan tanda tanya penduduk sekeliling selama ini akhirnya terbongkar.
Kelakuan sumbang pasangan berkenaan terbongkar apabila kediaman lelaki itu yang terletak di Jalan Mustafa, di sini, diserbu kira-kira jam 3 pagi semalam, oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Batu Pahat.
Turut menyertai serbuan itu adalah anggota dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pasangan yang didakwa bersekedudukan hampir 10 tahun itu turut memiliki seorang anak lelaki berusia lapan tahun.
Timbalan Penguatkuasa Jaij Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, ketika serbuan, wanita berasal dari Kelantan itu pada mulanya enggan memberikan kerjasama dengan mendiamkan diri.
Bagaimanapun, setelah beberapa kali dipujuk, wanita terbabit akhirnya akur dan keluar dari bilik seterusnya menceritakan situasi sebenar.
“Wanita itu dipercayai bersekedudukan dengan kekasihnya yang bukan Islam di sebuah rumah sejak 10 tahun lalu. Wanita itu juga mengakui tidak lagi mengamalkan ajaran Islam seperti solat dan sebagainya,” katanya, di sini.
Saiful Ariffin berkata, hasil pemeriksaan lanjut dalam sebuah bilik di kediaman pasangan ber- kenaan mendapati seorang kanak-kanak berusia lapan tahun sedang nyenyak tidur.
Menurutnya, wanita terbabit turut mengakui kanak-kanak itu adalah anak hasil hubungan dengan kekasihnya.
Mengikut surat beranak yang disertakan, anak itu tidak berbinkan kepada sesiapa dan pihaknya percaya dia adalah anak tidak sah taraf.
Bagaimanapun, pihaknya masih menyiasat agama yang dianuti kanak-kanak berkenaan.
“Setakat ini, pasangan terbabit disiasat mengikut Seksyen 23(1)(a)(b) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Johor 1997 dan mereka akan dihadapkan ke mahkamah selepas siasatan selesai berhubung kesalahan yang dilakukan
“Kita menasihatkan agar keluarga memainkan peranan penting bagi mengelak anak tersasar jauh daripada ajaran Islam,” katanya.
Saiful Ariffin memberitahu, operasi itu bertujuan membendung kegiatan sumbang yang semakin menular dalam kalangan anak muda sejak kebelakangan ini.
Tambahnya, operasi seperti ini juga akan dilakukan dengan lebih kerap, tertumpu kepada aduan orang ramai, hotel bajet dan kawasan yang berpotensi untuk kelakuan seperti itu. - SH
Siapa tanggung dosa kerana tidak laksana hukum Islam?
Home » Bersekedudukan hampir 10 tahun
No comments:
Post a Comment