GISB didakwa langgar taubat

SEPANG - Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB), syarikat yang dikaitkan dengan pertubuhan haram Al Arqam, didakwa melanggar salah satu daripada sembilan langkah kembali bertaubat yang dikemukakan syarikat itu, baru-baru ini.
Perkara itu diakui oleh seorang bekas pengikut Al Arqam, Zawawi Aman, di mana hanya isteri, Samsiah Yusoh dan seorang anaknya, Muhammad Abdul Bar, 4, pulang ke pangkuan suami, kelmarin.

Sedangkan GISB sebelum ini berjanji akan memulangkan isteri dan anak ke pangkuan keluarga, namun tiga lagi anak perempuan Zawawi, Siti Maryam Adzar, Nur Samahan dan Siti Khaulah Al Azwar masih menetap di Jordan dengan alasan sedang belajar.

Samsiah ketika ditemui menjelaskan, tiga anaknya itu baru mengikuti sesi pembelajaran di Jordan di mana yuran pengajiannya ditanggung sepenuhnya oleh GISB.

Ibu kepada lapan orang anak itu bagaimanapun tidak pasti bila anaknya akan pulang dan dia akan berbincang dengan suami bagi menyelesaikan perkara tersebut.

“Yuran pengajian agak mahal. Semua dibiayai oleh GISB,” jelas Samsiah.

Namun bagi Zawawi, beliau memberi masa selama dua minggu kepada GISB memulangkan semula tiga anaknya, jika tidak beliau akan membuat laporan polis demi memastikan keselamatan anaknya terjamin.

“Mereka masih di bawah umur dan menjadi tanggungjawab saya sebagai bapa untuk menentukan di mana mereka akan belajar. Saya juga tidak tahu adakah mereka benar sedang belajar di sana.

“Lagipun saya tidak tahu tahap keselamatan mereka. Paling saya risau, mereka mungkin dikahwinkan pada usia muda di mana pernah berlaku perkara sama sebelum ini terhadap anak pengikut GISB,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.

Zawawi berkata, beliau tidak akan berputus asa selagi tidak melihat tiga anak perempuannya itu kembali ke sisinya. - SH


Ada nampak laki bini ni bersalam?

No comments:

Post a Comment