MONTREAL 11 Sept. - Kerajaan wilayah Quebec, semalam mencadangkan undang-undang yang mengharamkan kakitangan kerajaan memakai pakaian agama seperti tudung, purdah, serban dan kopiah semasa bertugas.
Cadangan yang dipanggil sebagai 'piagam bernilai' akan diperkenalkan untuk dibahaskan pada penghujung tahun ini dan mendapat kritikan di seluruh Kanada.
Menteri yang bertanggungjawab dengan cadangan itu, Bernard Drainville berkata, matlamat pelaksanaan undang-undang itu adalah bagi memastikan keberkecualian menyeluruh kerajaan ke atas agama.
Pengharaman itu akan dikuatkuasakan kepada semua kakitangan awam termasuk guru dan polis.
Bagaimanapun, katanya, peraturan itu tidak akan dikenakan kepada ahli politik yang dilantik sebagai pegawai kerajaan kerana mereka dipilih oleh rakyat.
Selain itu, pemakaian simbol agama yang lebih kecil seperti lambang bintang David pada cincin akan dibenarkan.
Kerajaan persekutuan dalam pada itu berkata, mereka akan mendapatkan nasihat daripada Jabatan Kehakiman dan mencadangkan, mereka akan membawa isu itu ke mahkamah, sekiranya cadangan itu melanggar hak asasi manusia.
Sementara itu, seorang kakitangan kerajaan yang bertudung, Kathy Malas berkata, dia tidak mempunyai cadangan untuk berhenti kerja atau menanggalkan hijabnya, walaupun piagam itu dikuatkuasakan sebagai undang-undang.
"Saya akan menentang cadangan itu, ... sudah pasti. Bagi sebuah kerajaan untuk menentukan bagaimana rakyatnya harus berpakaian, bagi saya, ia tidak munasabah," katanya.
Seorang pensyarah undang-undang Universiti Montreal, Jean-Francois Gaudreault-DesBiens pula berkata, cadangan itu akan dicabar berdasarkan peruntukan Perlembagaan. - AGENSI
Home » Kerajaan Quebec haram kakitangan awam pakai pakaian agama
No comments:
Post a Comment