Kereta dilarikan di stesen minyak

KUALA LUMPUR: “Kami hanya singgah sebentar di stesen minyak ini untuk ke tandas kira-kira 10 minit namun sebaik keluar saya terkejut apabila kereta dan anak saya yang sedang tidur di dalam kereta hilang,” kata Roswati Rahmat ibu kepada Iskandar Zulkarnain Borhan, 25, yang hilang dipercayai dilarikan.


Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam semalam, Roswati, 55, memberhentikan kereta di laluan luar stesen minyak Petronas selepas plaza tol Bukit Jelutong, Shah Alam dan keluar untuk ke tandas, manakala suami Abul Malik Abdul Latif ke kedai serbaneka stesen minyak itu.

Menurutnya, ketika itu enjin kereta Subaru XV berwarna putih dengan nombor pendaftaran WXQ 191 itu tidak dimatikan manakala anak mereka Iskandar sedang tidur kerana kepenatan.

“Kami dalam perjalanan pulang dari kampung di Melaka ke rumah di Sungai Buloh. Iskandar ketika itu berada dalam kereta di bahagian tempat duduk belakang sedang tidur. 

“Apabila menyedari kereta hilang, saya cuba hubungi nombor telefon saya yang tertinggal dalam kereta kerana telefon Iskandar rosak. Beberapa kali panggilan saya tidak berjawab. Tidak lama selepas itu, saya tidak dapat menghubungi nombor berkenaan. Mungkin talian telah dimatikan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, abang mangsa, Fairuz ketika dihubungi berkata, dia bergegas ke stesen minyak berkenaan selepas mengetahui kejadian itu dan terus mengambil ibu bapanya membuat laporan polis,

Beliau juga menghebahkan kejadian menerusi laman sosial dan Facebook Malaysian Crime Awareness Campaign (MCAC). Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Fairuz di talian 012-2585802.

Laporan polis juga sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada jam 8 malam dan bilik gerakan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan. - Mymetro

No comments:

Post a Comment