Kajian semula skim perkhidmatan awam selesai pertengahan 2014

Putrajaya: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjangkakan kajian semula semua skim perkhidmatan awam akan selesai sepenuhnya menjelang pertengahan tahun depan.


Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, sebelum ini kerajaan telah melakukan kajian semula terhadap 81 skim tahun ini.
“Bagi memastikan perkhidmatan awam mempunyai modal insan berkemahiran, seiring keperluan menzahirkan wawasan negara, kajian skim sedia ada perlu dilaksanakan secara berterusan.

“Justeru, bagi skim perkhidmatan lain yang tidak terbabit dengan kajian pada 2013, kita akan kaji secara berperingkat, malah 100 skim perkhidmatan sudah dikenal pasti untuk dikaji mulai Januari 2014.

Penawaran opsyen
“Seperti pelaksanaan kajian sebelum ini, ia turut dirunding bersama pihak berkepentingan termasuk Ketua Perkhidmatan, Ketua Jabatan, CUEPACS, Majlis-majlis Bersama Kebangsaan dan kesatuan pekerja,” katanya selepas merasmikan Forum Sektor Awam 2013, di sini semalam.

Terdahulu dalam ucapannya, Ali berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam ucapan Bajet 2014 mengumumkan penambahbaikan 81 skim perkhidmatan awam bagi menarik dan mengekalkan modal insan terbaik sektor awam, selain menambah baik laluan kerjaya serta mudah alihan penjawat awam.

Menurutnya, penambahbaikan membabitkan 613,743 penjawat awam dengan peruntukan tambahan RM31 juta setahun.
Berikutan itu, beliau berkata pihaknya sudah memberi taklimat berasingan kepada semua Ketua Setiausaha Kementerian, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Ketua Perkhidmatan, Ketua Jabatan, Pengurus Sumber Manusia kementerian, agensi persekutuan dan negeri, CUEPACS serta kesatuan penjawat awam mulai 22 Oktober lalu.

“Ketua Jabatan diminta segera melaksanakan urusan penawaran opsyen pertukaran pelantikan kepada pegawai terbabit. Tempoh tawaran opsyen adalah 30 hari dari tarikh surat dikeluarkan,”katanya.
“Bagi perkhidmatan negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan, ia tertakluk kepada 30 hari daripada tarikh pekeliling perkhidmatan dikeluarkan,” katanya.- BHarian

No comments:

Post a Comment