Gaji MB Naik Lebih Seratus Peratus

SHAH ALAM: Menteri Besar, Speaker, Timbalan Speaker, termasuk Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bakal menikmati kenaikan gaji pada kadar lebih seratus peratus berkuatkuasa mulai 1 Januari 2014.

Gaji Menteri Besar Selangor yang berjumlah RM14,175.15 meningkat kepada RM29,250 iaitu pada kadar 106.4% sejak kali terakhir dinaikkan pada tahun 2005.
Manakala Speaker Dewan daripada RM6,109.29 naik 268% kepada RM22,500, Timbalan Speaker pula RM3,327.5 kepada RM15,750.

Bagi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), pendapatan RM6,109.29 kepada RM20,250, peningkatan sebanyak 231%.

Perkara tersebut diluluskan dibawah Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013 setelah mendapat persetujuan sebulat suara oleh Ahli Dewan.

Sebelum itu, Abdul Khalid ketika membahaskannya berkata kenaikan itu dibuat berpandukan negeri Sarawak, selain gaji yang diberikan kerajaan Pusat kepada pegawai Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Kata Khalid, kenaikan tersebut dibuat selepas melihat peningkatan hasil dalam kerajaan negeri.
“Beban tugas yang dipikul tanpa mengira waktu… keberkesanan melaksanakan tugas dan menunjukkan hasil terus meningkat jadi pertimbangan sewajarnya harus diambil” katanya hari ini.

Namun beliau mengingatkan, peningkatan gaji itu juga menandakan tanggungjawab badan eksekutif negeri termasuk Exco selepas ini akan jadi lebih berat dan bertambah.
“Kalau esok kita dapat ambil alih aset industri air melebihi RM20bilion, kalau kena jawab bukan lagi salahkan Syabas atau sesiapa.

“Jadi tanggungjawab itu sangat besar dan pampasan yang diberi saya ingat berpatutan,” katanya.
Sementara itu, Adun Kampung Tunku Lau Weng San dalam perbahasan berkata, kenaikan itu wajar disokong kerana gaji yang diterima Menteri Besar, Speaker dan Timbalan Speaker selama ini dikekalkan diparas yang terlalu rendah dalam tempoh yang terlalu lama.

DUN Sarawak pada Mei lalu meluluskan kenaikan gaji untuk Ketua Menteri daripada RM13,000 kepada RM39,000; Timbalan Ketua Menteri, RM11,500 kepada RM35,000.
Manakala menteri kanan dan speaker DUN RM9,000 kepada RM30,000; menteri, RM9,000 kepada RM27,000; menteri muda dan timbalan speaker, RM7,000 kepada RM21,000; Adun RM4,500 kepada RM15,000 dan setiausaha politik, RM3,000 kepada RM9,000. - Free Malaysia Today

No comments:

Post a Comment