Prof Mohd Amin dilantik naib canselor UM

Datuk Prof Dr Mohd Amin Jalaludin
Kementerian Pendidikan hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Prof Dr Mohd Amin Jalaludin sebagai naib canselor Universiti Malaya berkuatkuasa 8 November depan.

Menurut kenyataan kementerian berkenaan, pemilihan Prof Mohd Amin adalah berdasarkan kepada kriteria yang telah ditetapkan oleh kementerian di samping pengalamannya dalam aspek pembangunan akademik UM.

"Kementerian Pendidikan berharap pelantikan Datuk Prof Dr Mohd Amin dapat meningkatkan pencapaian UM menerusi pemantapan kepimpinan universiti, kualiti penyelidikan dan penerbitan, kualiti staf akademik, kualiti mahasiswa, kedudukan di peringkat antarabangsa dan penjanaan pendapatan," kata kenyataan itu.
Sebelum dilantik sebagai naib canselor, Prof Mohd Amin merupakan timbalan naib canselor akademik dan antarabangsa di UM.

Beliau merupakan pakar dalam bidang perubatan 'Head and Neck' dan Otologi.

Beliau memperoleh Bachelor of Medicine, Bachelor of Surgery (MBBS) daripada Universiti Malaya pada tahun 1982 dan kemudian dianugerahkan Fellow Royal College of Surgeons, Edinburgh pada 1989.
Beliau juga merupakan fellow penyelidikan di Harvard Medical School pada tahun 1994. Pada tahun 1996, beliau dilantik sebagai Fellow Academy of Medicine, Malaysia.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan merakamkan penghargaan dan
terima kasih kepada Tan Sri Dr Ghauth Jasmon selama berkhidmatan sebagai naib canselor UM.

"Kepimpinan dan bakti yang dicurahkan beliau semenjak dilantik pada
8 November 2008 telah berjaya memantapkan kedudukan UM di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

"Beliau juga telah meletakkan asas yang kukuh untuk UM maju ke peringkat yang lebih tinggi di masa hadapan," tambah kenyataan itu. - Bernama

Mengejutkan. Permintaan pertama, tolong singkir pensyarah luar yang tiada kualiti, sebaliknya naikkan pensyarah UM yang berkualiti ke tempat yang sewajarnya.

No comments:

Post a Comment