Pegawai polis wanita direman

PULAU PINANG 10 Okt. - Seorang pegawai polis wanita berpangkat Asisten Supritendan (ASP) direman bagi membantu siasatan kes seorang tahanan meloloskan diri ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Mahkamah membenarkan pegawai wanita berkenaan direman selama tiga hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pegawai polis itu disiasat mengikut Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan kerana membiarkan seseorang lari dari tahanan serta tentangan terhadap penangkapan yang sah di sisi undang-undang yang kedua-duanya membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

"Selain itu, pegawai berusia 55 tahun itu juga disiasat di bawah Seksyen 225A kanun sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun dan denda atau kedua-duanya sekali kerana meninggalkan atau membiarkan tahanan lari," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang semalam, tahanan terbabit, K. Prabaharan, 45, yang terlibat dalam kes penipuan dan digelar 'Doktor Kasanova' melarikan diri ketika berada di mahkamah selepas dibawa dari Mahkamah Cameron Highlands.

Suspek dikatakan melarikan diri dalam keadaan tangan masih bergari semasa pegawai terbabit mengarahkan anggota pengiring keluar makan dan meninggalkan lelaki berkenaan di dalam biliknya.
Menurut Abdul Rahim, Prabaharan yang menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan sepatutnya dihantar ke Penjara Reman Pulau Pinang selepas habis sebutan akhir kesnya di Cameron Highlands kelmarin.

"Dalam perjalanan ke penjara, seorang pegawai mahkamah di Pulau Pinang menghubungi polis pengiring dan meminta agar suspek dihantar ke pejabatnya namun suspek bertindak melarikan diri ketika berada di pejabat pegawai tersebut.
"Ketika melarikan diri suspek memakai kemeja T tanpa kolar berwarna ungu dan berseluar pendek merah," jelasnya.

Katanya, suspek masih menghadapi empat pertuduhan di daerah Timur Laut, masing-masing dua pertuduhan di Barat Daya, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan serta satu kes di Cameron Highlands.
Selain itu, Prabaharan yang beralamat terakhir di Taman Mas, Ipoh, Perak juga amat dikehendaki polis di Segamat, Sungai Petani dan Taiping kerana kesalahan di bawah seksyen sama.

Polis kini menjalankan Op Tutup untuk mengesan suspek yang dipercayai masih berada di Pulau Pinang dengan bantuan semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).
Prabaharan ditahan 4 Januari lalu di rumah sewanya di Bukit Gambir di sini, setelah polis menerima aduan mengenai kegiatan seorang kasanova yang memperdaya lebih 20 wanita menerusi laman-laman web sosial dan mengaut lebih RM500,000 sejak 2001.

Dia juga dikatakan menyamar sebagai doktor bagi memperdayakan kesemua wanita berkenaan dengan pelbagai janji manis termasuk untuk mengahwini mangsa. - Utusan

No comments:

Post a Comment