Perogol bersiri tidak sanggup lagi ditahan dalam lokap

IPOH 8 Okt. - Seorang perogol bersiri yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan termasuk merogol, melakukan seks luar tabii dan cuba rogol, merayu dibebaskan dengan jaminan kerana sudah tidak sanggup lagi berada dalam lokap.

Sambil memandang seorang wanita yang sarat mengandung sembilan bulan yang didakwa isterinya, tertuduh, Malek Ridzuan Asroll, 27, (gambar) menyatakan, dia akan memohon bantuan adiknya untuk menjaminnya keluar.
''Saya memohon supaya dibenarkan untuk diikat jamin. Saya sudah tidak sanggup lagi tinggal di sini (penjara).

''Isteri saya juga sedang mengandung dan akan bersalin tidak lama lagi,'' katanya sebaik sahaja Timbalan Pendakwa Raya, Norhafizah Kamaludin memaklumkan pihaknya tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh.

Jelas Norhafizah, selain pertuduhan rogol dan cuba melakukan persetubuhan luar tabii di mahkamah itu, tertuduh turut menghadapi tiga pertuduhan lain iaitu dua cubaan rogol dan satu pertuduhan melakukan seks luar tabii di dua buah mahkamah sesyen lain.


''Pegawai penyiasat memaklumkan tertuduh merupakan perogol bersiri. Selain tuduhan berkenaan, dia juga akan didakwa di Mahkamah Majistret Batu Gajah dan Kampar atas empat lagi pertuduhan iaitu melibatkan kesalahan menyamar polis, mencuri telefon bimbit serta melakukan ugutan terhadap mangsa.
''Lagipun tertuduh tidak mempunyai sebarang pengenalan diri serta surat beranak. Mohon jaminan tidak dibenarkan,'' ujar Norhafizah.

Hakim Rushan Lutfi Mohamed kemudian memutuskan untuk tidak membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin.
Keputusan sama turut dibuat oleh Hakim Madihah Harullah sementara Hakim Noor Hayati Mat membenarkan Malek Ridzuan dibebaskan dengan jaminan RM10,000 berserta seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 12 dan 15 November ini untuk sebutan semula semua kes berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa cuba merogol seorang pekerja kedai kasut berusia 15 tahun kira-kira pukul 9.50 malam, 11 September lalu di tepi Jalan Tanah Adat Mandailing di belakang Kelab Clearwater Sanctuary dekat sini.

Bagi pertuduhan kedua pula, Malek Ridzuan didakwa cuba melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun di antara pukul 10 pagi dan 10.05 pagi, 21 September lalu di ladang ternakan itik, Taman Alam Kinta, Kota Bahru di sini.

Dia juga didakwa merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap seorang pelajar tingkatan lima kira-kira pukul 9.25 pagi dan 10.15 pagi, 25 September lalu, juga di Tanah Adat Mandailing di sini.
Pada 29 September lalu pula, dia didakwa cuba merogol seorang wanita berusia 30 tahun di kawasan hutan sebelah Taman Burung di Kampung Pisang dekat sini.

Semua pertuduhan tersebut di kemukakan oleh Norhafizah dan dua lagi Timbalan Pendakwa Raya, Yasser Mohd. Nasir serta Siti Nora Sharif mengikut Seksyen 376, Seksyen 377(c) dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Sementara di Mahkamah Majistret Batu Gajah, Malek Ridzuan turut mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan iaitu menyamar sebagai anggota polis dan mencuri telefon milik mangsa berusia 30 tahun itu di tempat sama kira-kira pukul 9 malam, 29 September lalu. - Utusan

No comments:

Post a Comment