Pemaju tawar RM200,000 untuk maklumat kes tembak

NILAI - Syarikat pemaju hartanah Mega 9 Housing Sdn Bhd hari ini menawarkan sagu hati RM200,000 kepada orang ramai yang memberikan maklumat tepat berhubung kejadian tembak di pejabat urusannya di Mantin, di sini Rabu lalu.

Dalam kenyataannya, syarikat itu memberitahu bahawa sesiapa yang mempunyai maklumat itu boleh menghubungi Balai Polis Daerah Mantin untuk dikongsikan dengan pihak polis yang menjalankan siasatan.

Dalam kejadian pada 27 November lalu, beberapa das tembakan dilepaskan ke pejabat urusan pemaju hartanah terbabit yang terletak di Taman Bunga Raya, Mantin, di sini oleh individu tidak dikenali menyebabkan pintu kaca pecah dan dinding premis itu retak.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Nilai Supt Yusoff Awang berkata pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu, dan berharap dengan penawaran sagu hati oleh pemaju terbabit, orang ramai yang mempunyai maklumat akan tampil membantu siasatan.

"Siasatan masih dijalankan bagi mengesan individu yang melepaskan tembakan itu dan motifnya dan kita (polis) tidak menolak ia mungkin dilakukan atau diupah oleh mereka yang tidak berpuas hati dengan syarikat tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini, Mega 9 Housing Sdn Bhd yang membangunkan sebidang tanah di Kampung Hakka, di sini terlibat dengan kontroversi apabila beberapa penduduk enggan berpindah kerana membantah pengambilan tanah di kawasan itu.

Kes berkenaan kemudian dibawa ke Mahkamah Tinggi Seremban yang memerintahkan semua penduduk berpindah dengan diberikan pampasan bagi membolehkan kerja meroboh dan pembangunan dijalankan.

Bagaimana pun terdapat segelintir penduduk enggan berpindah kerana tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan yang ditawarkan. - Bernama

No comments:

Post a Comment