KAHERAH: Simbol 4 jari yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri Turki, Recap Tayyib Erdogan sewaktu berucap dalam satu himpunan kini menjadi lambang protes seluruh rakyat Mesir terhadap kekejaman junta tentera yang membunuh rakyat awam.
Himpunan yang diadakan di Istanbul itu, bagi mengecam pembunuhan beramai-ramai rakyat awam Mesir di Dataran Rabaa Adawiya juga merupa tanda sokongan kerajaan Turki terhadap kerajaan Presiden Mohamad Morsi yang dipilih oleh rakyat Mesir sendiri.
Sekarang ini, kemana-mana sahaja kita pergi di seluruh Mesir, lambang ‘4 jari Rabaa’ ini dapat dilihat ditampal di merata-rata tempat termasuk juga yang dibawa oleh rakyat awam di dalam demonstrasi-demonstrasi aman yang dianjurkan hampir setiap hari.
Penyokong Presiden Morsi serta NGO-NGO yang menentang rampasan kuasa tentera di Mesir melihat lambang ‘4 Rabaa’ ini sebagai sumber inspirasi dan kekuatan mereka bagi berhadapan dengan kekejaman junta tentera.
Perdana Menteri Erdogan yang mencetus simbol 4 jari tersebut, menyebutnya sebagai simbol bagi mengenang medan Rabiatul Adawiyah (Raba’ah) yang telah dihancurkan oleh rejim tentera Mesir secara rakus.
Simbol 4 jari ini memberi maksud Rabi’ah. Rabi’ah/arba’ah bererti Empat. Oleh sebab itu, angka 4 dijadikan sebagai simbol mengenang peristiwa di Rabaah sekaligus membawa maksud keteguhan, kekuatan serta solidariti terhadap rakyat Mesir yang dibunuh dengan kejam.
Simbol ‘4 jari Rabaa’ ini juga kini menjadi minat anak-anak muda di seluruh dunia yang membantah kekejaman junta tentera Mesir dan ia tersebar luas melalui media sosial seperti Facebook dan twitter.
Lambang ini menjadi simbol tanda sokongan anak-anak muda seluruh dunia terhadap rakyat Mesir yang menentang rampasan kuasa junta tentera serta tanda bantahan terhadap pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di Dataran Rabaa.
Di Dataran Rabaa inilah pasukan tentera dan polis dilaporkan telah menyerang dan membakar bangunan hospital yang terletak dalam kawasan Masjid Rabaah. Hospital itu menjadi pusat rawatan kepada para mangsa yang cedera dan mayat para syuhada’ ditempatkan.
Jumlah angka korban di Dataran Rabaa sahaja dianggarkan melebihi kepada 2,000 orang termasuk 65 orang kanak-kanak dan lebih dari 10,000 rakyat awam yang cedera.
Inilah realiti politik Mesir terkini. Simbol ‘4 jari Rabaa’ yang di tunjukkan oleh rakyat kini menjadi sumber inspirasi dan senjata bagi mereka untuk berhadapan dengan seluruh kekuatan junta tentera dan polis yang menggunakan gas-gas pemedih mata dan peluru-peluru hidup terhadap rakyat awam yang tidak berdosa. - Harakahdaily
Home » Simbol 4 jari, protes terhadap tentera Mesir
No comments:
Post a Comment