Beraksi dalam bulan Ramadan merupakan punca skuad Harimau Malaya tewas dalam tiga perlawanan persahabatan menentang kelab liga Jepun, kata ketua jurulatih kebangsaan Datuk K. Rajagobal.
Skuad bola sepak kebangsaan yang tiba di tanah air hari ini, kalah 2-0 kepada kelab divisyen satu Shimizu S-Pulse, Shonan Bellmare (5-0) dan kelab divisyen dua Tokyo Verdy dengan keputusan 5-0.
Mempertahankan skuad bimbingannya, Rajagobal berkata pemainnya tidak mempamerkan mutu persembahan sebenar apabila beraksi dalam keadaan berpuasa pada waktu siang kerana kurang tenaga namun mungkin akan menampilkan aksi berlainan pada waktu malam.
"Pada perlawanan pertama dengan Shimizu S-Pulse keputusannya tidak terlalu teruk kerana kita bermain selepas berbuka namun pada perlawanan persahabatan kedua dan ketiga kita bermain pada waktu siang," katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, hari ini.
Rajagobal berkata kekalahan itu memberi pengajaran bahawa jika mahu bermain dengan kelab-kelab yang berada di tahap tinggi, adalah tidak sesuai diadakan pada bulan Ramadan.
Kunjungan ke Jepun yang bermula pada 23 Julai lepas itu adalah sebagai persiapan skuad kebangsaan menentang Bahrain dalam aksi kelayakan Piala Asia 2015 di Kuala Lumpur, Oktober ini.
Ditanya mengenai desakan sesetengah pihak yang meminta beliau mengundur diri selepas kekalahan memalukan itu, Rajagobal berkata beliau akan meneruskan tugasnya sehingga kontraknya tamat pada 31 Dis ini.
"Jika majikan (Persatuan Bola Sepak Malaysia) buat keputusan, saya pun akan buat keputusan nanti. Sementara itu, saya akan jalankan tanggungjawab saya sebagai jurulatih dan jangan ganggu pemain serta saya," katanya yang mahu terus memberi tumpuan terhadap latihan menentang Bahrain nanti.
- Bernama
Home » Aksi di bulan Ramadan punca Malaysia kalah, kata Rajagopal
No comments:
Post a Comment