JEMPOL 27 Julai - Pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO), MyWatch, R. Sri Sanjeevan cedera parah akibat ditembak seorang daripada
dua lelaki bermotosikal di pekan Bahau dekat sini petang ini.
Jurucakap polis memberitahu, kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu berlaku ketika mangsa yang memandu kereta jenis BMW bersama seorang rakannya berhenti di satu lampu isyarat berhampiran Taman Cempaka di sini.
Katanya, setibanya di situ, mangsa kebetulan membuka cermin tingkap keretanya sebelum muncul dua lelaki menaiki sebuah motosikal lalu mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan tembakan.
"Tembakan itu menembusi tangan kanan mangsa sehingga ke perutnya. Dalam keadaan kesakitan, mangsa memecut kenderaannya dan berhenti kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.
"Rakan mangsa kemudian memandu kereta itu ke Hospital Jempol sejauh 15 kilometer untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya ketika ditemui di sini hari ini. - UTUSAN
Berita Sebelum Ini...
pada 05-07-2013
SHAH ALAM: Pengerusi Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) anti jenayah MyWatch R Sri Sanjeevan, hari ini membuat laporan di Balai Polis Sepang bahawa beberapa individu cuba menakut-nakutkan dirinya.
Menurut portal FMT, Sanjevaan mendakwa lima lelaki mengekorinya ketika beliau sedang minum bersama rakannya di sebuah restoran popular di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang.
“Tiga lelaki memerhatikan kami dari pintu masuk restoran manakala dua lagi memantau dari sebuah mesin ATM.
"Seorang daripada mereka cuba menghampiri meja saya tetapi saya dan rakan saya segera meninggalkan restoran itu. Bagaimanapun, mereka terus mengekori kami tetapi hilang seketika kemudian," katanya dipetik portal itu.
Sanjeevan baru-baru ini mendedahkan satu kes di mana seorang bekas pengedar dadah merasuah anggota polis berhubung maklumat mengenai serbuan yang bakal dijalankan.
Bekas pengedar dadah itu mendakwa polis dibayar antara RM30,000 dan RM50,000 sebulan bagi membocorkan maklumat.
Lelaki itu dikatakan menyesali perbuatan lampaunya dan mahu memulakan kehidupan baru tetapi ada anggota polis yang terus memujuknya supaya meneruskan aktiviti lamanya serta menawarkan perlindungan kepada dirinya.
FMT juga menghubungi Sanjeevan yang dipetik berkata adalah kemungkinan besar kumpulan lelaki yang mengekorinya berkaitan dengan sindiket dadah.
“Jelas, ia ada kaitan berhubung pendedahan yang saya buat mengenai bekas pengedar dadah itu," katanya sambil merayu pihak berkuasa menyiasat perkara berkenaan kerana bimbangkan keselamatannya. - AntaraPos
No comments:
Post a Comment