Pasukan Khas Diketuai Pengarah JSJ Kendali Kes Cubaan Bunuh Sanjeevan

Sanjeevan dibawa menaiki ambulans ke Hospital Tuanku Jaa'far.
PETALING JAYA: Satu pasukan khas diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah yang melibatkan beberapa pegawai dari Bukit Aman dan Negeri Sembilan telah memulakan siasatan dalam satu cubaan membunuh Pengerusi MyWatch R Sri Sanjeevan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa pasukan tersebut akan menyiasat kes berkenaan dengan teliti.

"Kementerian memandang serius kes tersebut kerana Sanjeevan terlibat secara aktif dalam membangkitkan isu-isu berkaitan jenayah pada masa lalu.
"Keutamaan polis adalah untuk mencari dalang di sebalik cubaan membunuh itu dan menyiasat motif kejadian," katanya pada Ahad.


Mengulas mengenai dakwaan anggota polis mungkin antara individu yang terlibat dalam insiden tembakan itu, Ahmad Zahid berkata tindakan akan diambil terhadap mana-mana anggota polis sekiranya terdapat bukti.
"Jika dakwaan itu benar, sesiapa yang didapati bersalah akan ditahan dan didakwa tanpa rasa takut atau pilih kasih.

"Buat masa ini, polis harus dibenarkan untuk menjalankan siasatan dengan terperinci," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, siasatan awal sudah dijalankan dan akan diteruskan sehingga ke akar umbi.

Sanjeevan, 29, yang memandu kereta jenis BMW berwarna kelabu bersama seorang rakannya berhenti di lampu isyarat Taman Awana Indah di Bahau kira-kira pukul 4.30 petang Sabtu.
Mereka dalam perjalanan untuk minum bersama sebelum dua lelaki bermotosikal muncul dan melepaskan tembakan menggunakan pistol menembusi tangan sehingga perutnya.

Dua lelaki tersebut berjaya melarikan ke arah Rompin.
Selepas memandu kira-kira 300m, rakan Sanjeevan berjaya menghentikan kereta tersebut dan memindahkannya ke tempat duduk belakang sebelum membawanya ke Hospital Jempol.

Sanjeevan dipindahkan ke Hospital Tunku Ja'afar kira-kira pukul 1.30 pagi di mana beliau kini berada dalam kawalan ketat polis.
Secara kebetulan, rakannya itu kemudiannya ditahan kerana kes berkaitan dadah selepas kenyataannya direkodkan di balai polis Bahau. - Mstar




No comments:

Post a Comment