BATANG KALI - Umpama babak dalam drama gengster apabila sekumpulan tiga lelaki memegang parang sambil mengejar mangsa dan menetaknya beberapa kali sehingga rebah.
Mangsa yang pada awalnya cedera di kepala, masih mampu berlari dan cuba menyelamatkan diri, namun tiga lelaki terbabit terus mengejar dan menetak badan serta tangan mangsa hingga tidak berdaya.
Penjenayah tidak bertopeng itu hanya beredar setelah melihat mangsanya terbaring dan tidak mampu berdiri lagi.
Saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Diana, 24, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.15 petang itu bermula di sebuah tempat cuci kereta dan berakhir di kawasan stesen minyak.
“Saya nampak dia berlari dari belakang stesen minyak dan dikejar tiga lelaki berparang.
“Dua kali dia jatuh ditetak, kemudian dia bangun ditetak lagi, sampailah dekat tepi jalan itu, dia tumbang dan terus kena cincang,” katanya berhampiran tempat kejadian, malam kelmarin.
Seorang lagi saksi dikenali sebagai Adib, 19, berkata, kekecohan bermula dari sebuah tempat cuci kereta di sebelah stesen minyak sebelum mangsa dilihat berlari dengan berlumuran darah dan cedera di kepala.
Menurutnya, situasi ketika itu agak tegang dan menakutkan sehingga semua pelanggan yang mengisi minyak tidak mampu berbuat apa-apa kerana bimbang dicederakan.
“Memang macam drama gengster, orang yang melihat kejadian itu hanya diam tanpa buat apa-apa. Sampailah lelaki itu terbaring di hujung sana, tiga penjenayah berparang tadi terus menetak tangan kirinya sampai putus,” katanya.
Adib berkata, mangsa yang hanya memakai baju T lengan pendek dan seluar pendek berkemungkinan menunggang motosikal sebelum diserang kerana terdapat sarung tangan pada tangan kiri mangsa yang putus.
Kenalan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Kanna, 36, berkata, mangsa merupakan seorang penarik kereta dan tinggal di Taman Wawasan di sini.
Katanya, sebelum kejadian, dia ada ternampak dua kenderaan mencurigakan menggunakan cermin gelap dan bernombor pendaftaran Melaka, singgah di sebuah restoran berdekatan.
“Tidak pasti sama ada mereka ada kaitan dengan kejadian tersebut atau tidak. Tapi, kejadian itu berlaku selepas saya lihat kenderaan mencurigakan. Jadi, mungkin ada kaitan. Tapi saya lupa nombor pendaftarannya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, mangsa, N Sangar, 33, berasal dari Bandar Utama Batang Kali, selain mempunyai sebuah kedai mencuci kereta di sini dan kedai makan di
Hulu Yam.
“Polis masih menyiasat motif sebenar kejadian mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya, semalam.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal kes, Balai Polis Batang Kali menerima panggilan telefon daripada orang awam yang memaklumkan berlaku pergaduhan dekat sebuah stesen minyak.
Katanya, pemanggil itu memberitahu seorang lelaki ditetak dengan parang sehingga putus pergelangan tangan kiri dan luka di bahagian kepala.
“Bertindak atas maklumat tersebut, anggota polis ke tempat kejadian dan mangsa yang parah dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB).
“Bagaimanapun, lebih kurang jam 6.55 petang, pihak hospital memaklumkan mangsa meninggal dunia akibat pendarahan di kepala dan bahagian badan,” katanya. - SH
Mengapa tiga orang penjenayah selamba tidak memakai topeng semasa menetak mangsa? Adakah mereka merasa 'aman' semasa membunuh orang secara kejam di tempat awam?
No comments:
Post a Comment