Tiada kompromi dengan pembangkang dalam bantahan di jalan raya, kata Zahid

KUALA LUMPUR, 18 Mei — Putrajaya tidak akan berkompromi tetapi akan mengambil tindakan tegas ke atas Pakatan Rakyat (PR) jika mencetuskan kekecohan di jalanan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. 

Akhbar harian pro-Umno, Utusan Malaysia melaporkan Ahmad Zahid (gambar) berkata hari ini pencegahan lebih baik daripada merawat, ia susulan berpuluh ribu orang ramai membanjiri enam siri jelajah PR seluruh negara ke atas dakwaan penipuan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lalu.
“Saya tidak akan memberi amaran tetapi tunggulah tindakan tegas,” kata Ahmad Zahid yang dipetik berkata di muda depan akhbar berbahasa Melayu tersebut.


Artikel muka depan akhbar Utusan Malaysia hari ini bertajuk “KDN: Tiada kompromi” dan menteri kabinet baru tersebut dipetik berkata “Pencegahan itu lebih baik daripada penyelesaian, dan pencegahan awal itu lebih murah ‘harganya’ berbanding penyelesaian masalah”.

Operasi Lalang atau Ops Lalang dilancarkan pada 27 Oktober 1987 oleh polis, agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri bagi menangkap mereka yang mengeruhkan suasana politik ketika itu.
Dalam Operasi Lalang ini, seramai 106 ahli politik terutama parti pembangkang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), penangkapan kedua terbesar dalam sejarah negara sejak berlaku insiden pergaduhan kaum pada 13 Mei 1969.

Walaubagaimanapun, ISA yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan telah dimansuhkan pada 2012 dan digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) dimana kerajaan tidak boleh menahan tanpa perbicaraan.

Aktivis hak asasi manusia, bagaimanapun, telah mengkritik undang-undang baru tersebut kerana ia memberikan kuasa luas kepada kerajaan untuk mentakrif sebarang bentuk ancaman daripada pembangkang dan mendakwa mereka.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan ketelusan pilihan raya baru-baru ini serta enggan mengiktiraf kerajaan Barisan Nasional (BN) serta menuduh pilihan raya umum 5 Mei penuh dengan penipuan.

Jumlah undi popular yang diperoleh PR ialah 5.5 juta undi dengan 89 kerusi Parlimen manakala BN mendapat 5.2 juta undi dengan 133 kerusi Parlimen, keputusan yang pertama kali berlaku dalam sejarah negara sejak mencapai Kemerdekaan 1957.

Ahli Parlimen Bagan Datoh BN tersebut yang baru dilantik dalam Kabinet baru-baru ini menunjukkan kelantangannya apabila menggesa pengundi yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya di Malaysia supaya berpindah ke negara republik.
“Jika golongan ini mahu menerima pakai single transferable vote yang digunakan oleh negara republik, sepatutnya mereka berhijrah ke negara-negara berkenaan untuk mempraktikkan kepercayaan politik mereka.

“Malaysia bukan negara untuk menterjemahkan kepercayaan politik mereka. Jika benar setia kepada negara kena terima sistem politik yang membentuk kerajaan sedia ada kerana sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Ahmad Zahid yang dipetik dalam Utusan Malaysia pada 16 Mei.
Malah, akhbar MCA hari ini juga melaporkan Ahmad Zahid mempertahankan kenyataannya serta menegaskan kata-katanya telah diambil luar konteks.

“Saya sebenarnya berkata siapa yang tidak yakin dengan sistem politik kita untuk ‘berhijrah’ ke negara yang bersesuaian dengan sistem politik dikehendaki mereka,” kata beliau.
“Saya bukan perkauman. Saya hanya bersikap praktikal dengan mengatakan kumpulan tersebut wajar ke negara dimana mereka boleh terjemahkan kepercayaan politik mereka menjadi kenyataan,” tambah beliau lagi.

Tindakan pemimpin tersebut mengundang kritikan pelbagai pihak khususnya DAP yang menyifatkan Ahmad Zahid sebagai gagal memahami tentang permasalahan yang timbul dalam proses pilihan raya di Malaysia, malahan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin juga menyifatkan pendirian tersebut adalah pandangan peribadi dan bukannya mewakili gabungan parti pemerintah itu.

“Pertama, sistem first-past-the-post yang diamalkan kita sekarang memberi kedudukan yang tidak seimbang berbanding jumlah undi popular malah sempadan pilihan raya negara ini telah lama terjejas, dimanipulasi sejak berdekad-dekad.

“Keduanya, kita mempunyai sistem pilihan raya yang tidak sempurna dan sebab itu ratusan ribu rakyat Malaysia menunjukkan kekecewaan mereka terhadap apa yang berlaku. Kita menuntut sistem pilihan raya yang lebih baik,” kata  Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua mengecam kenyataan Ahmad Zahid tersebut.

Berpuluh-puluh ribu rakyat Malaysia telah membanjiri lima perhimpunan anjuran PR di seluruh negara baru-baru ini bagi membantah dakwaan penipuan yang berlaku pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lalu, serta menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil.

Penganalisis dan pemerhati menyatakan BN mengekalkan kuasa pusat pada PRU13 dengan sokongan dan kekuatan pengundi luar bandar, dengan sebahagian besar kerusi yang dimenangi mereka adalah dari Sabah dan Sarawak, manakala pengundi kelas pertengahan dan bandar yang tertumpu di kawasan yang lebih besar tidak lagi menyokong parti pemerintah dan menyokong PR. - SH

Zahid seolah-olah sedang cuba jolok sarang tebuan.

No comments:

Post a Comment