BN sebagai parti tunggal, Umno sudah sampai di jalan mati, kata Nik Aziz

SHAH ALAM, 25 Mei — Tindakan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin menyambut baik cadangan untuk menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai parti tunggal menunjukkan Umno sudah sampai di jalan mati, kata Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. 

Menurut Mursyidul Am PAS itu lagi, keputusan Pilihan Raya 2013 menunjukkan walaupun Umno menang besar, parti itu hanya disokong oleh orang-orang Melayu di luar bandar.

“Ini menandakan bahawa Umno sendiri mula sedar perjuangan berasaskan bangsa sudah tidak relevan lagi di Malaysia,” kata Nik Aziz dalam satu kenyataan hari ini.
“Sekalipun Umno menang di kebanyakan kerusi yang ditandingi, tetapi kemerosotan BN di Parlimen membuktikan bahawa Umno hanya disokong oleh orang-orang Melayu yang berada di luar bandar.


Golongan inilah yang masih termakan umpan Umno sehingga tertelan dengan mata kail,” tambah beliau lagi.
Semalam agensi berita nasional Bernama melaporkan Muhyiddin sebagai berkata cadangan untuk menjadikan BN sebagai parti tunggal adalah rasional dan perlu dikaji secara mendalam untuk kesinambungan sokongan rakyat pada masa depan.

Menurut timbalan perdana menteri itu cadangan besar dan penting bagi memastikan BN kekal relevan itu perlu difikirkan segera oleh setiap parti komponen dan dijawab dalam tempoh terdekat jika mengambil kira keputusan pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas.
Nik Aziz (gambar) turut menyelar Umno yang dikatakan gagal mewujudkan demokrasi sebenar di Malaysia.
“Begitu juga dengan demokrasi, pun dinafikan oleh Umno.

“Ketelusan di dalam pilihan raya, kebebasan bersuara dan akses kepada media yang sepatutnya menjadi inti utama kepada demokrasi pun tidak wujud di Malaysia,” katanya.
Dua hari lalu, ahli Parlimen Batu PKR Chua Tian Chang, ahli PAS Tamrin Ghafar dan aktivis Haris Ibrahim ditahan kerana menghasut dan di bawa ke balai polis Jinjang untuk disoal siasat dan penahanan, difahamkan penahanan tersebut dilakukan dibawah seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan dan seksyen 124 Kanun Keseksaan.

Ketiga-tiga dibebaskan semalam oleh kerana Majistret tidak membenarkan polis mendapatkan perintah reman.
Ketiga-tiga dipercayai ditahan kerana pengelibatan dalam sebuah forum pada 13 Mei terhadap keputusan pilihan raya umum lalu.
Individu pertama yang ditahan akibat forum itu dan didakwa kerana menghasut adalah aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim di kompleks mahkamah Jalan Duta pagi Khamis.

Lelaki berumur 24 tahun itu mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dan perbicaraannya ditetapkan bermula pada 2 Julai.
Menurut Nik Aziz lagi, beliau bukanlah bersikap anti Melayu akan tetapi anti kepada tindakan hipokrit Umno melakukan penindasan kepada Melayu Kelantan selama berdekad-dekas semenjak negeri itu mula diperintah oleh PAS pada tahun 1990.

“Dalam nampak bersungguh membela Melayu, Melayu Kelantan ditindas lebih dua dekad hanya kerana memilih PAS di dalam pilihanraya.
“Royalti dinafikan, projek lebuhraya dicabut, peruntukan perumahan entah kemana dan banyak lagi senarai kezaliman Umno kepada Melayu Kelantan,” kata bekas menteri besar Kelantan itu.

Dalam satu sidang media awal minggu ini, pemangku Presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn mengatakan BN perlu mempertimbangkan untuk menggugurkan syarat kaum untuk menyertai gabungan berkenaan, sebaliknya menerima keahlian terus tanpa berdasarkan warna kulit.
Cadangan dari parti komponen BN itu dilihat sebagai langkah radikal selepas kalah teruk dalam Pilihan Raya 2013.

“Saya merayu kepada semua parti komponen seperti Umno, MCA, dan MIC untuk gugurkan keahlian berdasarkan kaum,” kata Chang. - TMI

No comments:

Post a Comment