Polis tumpang geng samun kereta, tahan tujuh lelaki

SHAH ALAM, 27 Mei — Polis Selangor berjaya menumpaskan satu kumpulan penjenayah menggunakan taktik langgar dan samun kenderaan mangsa dengan menahan tujuh lelaki dalam dua serbuan berasingan di sekitar kawasan Petaling Jaya pada Rabu dan Khamis lepas.

Kesemua suspek, yang berusia dalam lingkungan 20 dan 38 tahun, diberkas di Desa Mentari dan Ara Damansara oleh sebuah pasukan khas polis berikutan kejadian samun trak pikap Toyota Hilux dilaporkan di kawasan Damansara pada 6.30 pagi, Rabu lepas.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata dalam insiden samun itu, empat suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Waja berwarna hitam telah bertindak melanggar belakang trak pikap itu yang dipandu seorang lelaki.

“Ketika mangsa keluar dari keretanya untuk melihat kerosakan kesan dari perlanggaran tadi, kumpulan suspek ini telah mengancam mangsa dengan membaling tin minuman kepada mangsa sebelum melarikan kereta miliknya (mangsa),” katanya pada sidang media di sini hari ini.


Bertindak daripada laporan mangsa, polis menjejaki dan menahan empat suspek di kawasan Desa Mentari pada 10.30 malam hari yang sama dan hasil soal siasat ke atas mereka, tiga lagi suspek ditahan di Ara Damansara kira-kira 2 pagi.

Beliau berkata penahanan kesemua suspek itu membawa kepada penemuan empat kenderaan yang dipercayai hasil samun yang ditempatkan di kawasan parkir awam di lokasi suspek diberkas iaitu Toyota Hilux, Nissan Teana, Proton Waja dan Proton Putra.

Polis turut merampas sebuah Proton Waja yang digunakan suspek ketika melakukan samun terhadap pemilik kenderaan Toyota Hilux selain merampas beberapa peralatan termasuk buku lima, sarung tangan dan sebilah parang.

“Siasatan awal turut mendapati kesemua suspek ini mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes pecah rumah, samun dan penyalahgunaan dadah. Kesemua mereka direman hingga 30 Mei ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mengulas penemuan dua mayat di Seksyen 26 di sini, Thaiveegan berkata sehingga kini polis telah menahan 17 lelaki warga asing bagi membantu siasatan berhubung kes itu.
Semalam, polis menemui dua mayat dipercayai dua sahabat warga Indonesia yang dikenali sebagai Dofi, 21, dan Saiful, 19, yang dilaporkan hilang oleh keluarga mereka di Seri Kembangan, 1 Mei lalu.

Kedua-dua mayat itu ditemui kira-kira 3.15 petang dengan keadaan reput di bawah pokok pisang berhampiran Sungai Klang.
“Polis masih menunggu laporan forensik dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. — Bernama

Harap bukan sekadar menambah koleksi rekod jenayah lampau mereka sahaja.

No comments:

Post a Comment